Khamis, Disember 17, 2009

Lebih Baik Susah Dari Berubah

Salam Ma'al Hijrah..

Artikel tulisan Abi Saif ini, ingin saya kongsikan bersama-sama dengan sahabat-sahabat..

------------------------

Lebih Baik Susah Dari Berubah

discart_the_cook.jpg

Hijrah… apa lagi yang mahu diperkatakan tentang Hijrah?

Saban tahun kita menyambutnya, sebagaimana saban tahun segelintir kita mengulang debat tentang hukum merayakannya.

Hijrah bukan perayaan… ia hanya suatu usaha mengambil peluang kesediaan masyarakat untuk diperingat dan diprogramkan.

ayyamullah.jpg

Dan peringatkanlah mereka dengan hari-hari Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kebesaran dan keagungan Allah) bagi orang yang sangat bersabar lagi bersyukur ” (14:5)

Hari-hari Allah itu mungkin hari kekalahan, kegagalan dan musibah… lantas menjadi titik ingatan bagi setiap insan yang sangat penyabar dan kuat bergantung kepada Allah. Ia juga mungkin hari kemenangan, kejayaan dan kegembiraan… lantas menjadi bekalan besar bagi setiap insan yang amat bersyukur sifatnya.

Lantas peristiwa itu perlu diperingatkan kepada umat Islam dari semasa ke semasa.

Said Hawwa mengingatkan kita bahawa pada setiap tarikh munculnya hari-hari Allah itu, umat Islam akan tertanya-tanya, “tidak adakah apa-apa program atau sambutan sempena kedatangan tarikh ini?”. Dalam erti kata yang lain, umat Islam secara tanpa dipaksa bersedia untuk diprogramkan. Adalah suatu jenayah bagi pendakwah untuk mengabaikan kesediaan ini, semata-mata atas kefahaman literal kita bahawa ‘nabi tak buat jadi kita jangan buat’.

Setiap pendakwah harus mengambil peluang untuk memanfaatkan kesediaan masyarakat untuk diri mereka diprogramkan. Hindarkan diri dari ritual yang tidak berkenaan, dari sandaran fadhilat yang tidak berasas, tetapi jadikan ia sebagai peluang mendidik dan saling ingat mengingatkan.

PELAJARAN DARI HIJRAH

“Hijrah umat Islam yang pertama adalah hijrah gerombolan Mekah mendapatkan perlindungan di Habshah, semasa perjanjian Aqabah, Nabi SAW menerima ikrar setia dari rombongan Yathrib, Baginda SAW bersembunyi bersama-sama Abu Bakr di Gua Thur….”, semua penjelasan secara naratif ini boleh dirujuk di pelbagai sumber yang ada. Bahkan saban tahun kita sering mengulanginya. Namun, apakah lagi yang boleh kita belajar dari Hijrah itu?

Saya ingin mengaitkan Hijrah dengan proses perpindahan kita dari zon selesa (comfort zone) ke zon yang mencabar (courage zone).

KESUSAHAN BUKAN SEMESTINYA MENYAKITKAN

Bagaimana boleh dikatakan Mekah itu sebagai zon selesa?

Semua kita tahu bahawa nasib umat Islam amat menyedihkan semasa mereka di Mekah sebelum Hijrah. Bukan sahaja peluang mengamalkan ajaran Islam menjadi begitu terhad, malah tidak sedikit nyawa yang telah terkorban demi iman. Apakah ini yang dinamakan zon selesa?

Ya… ia boleh jadi zon selesa.

Tidak semua orang menganggap kesusahan itu sebagai sesuatu yang menyakitkan. Pepatah Melayu pun ada menyebut “alah bisa tegal biasa”. Dek kerana sudah biasa dengan penderitaan, jangan terkejut jika ramai di kalangan kita yang lebih rela terus hidup di dalam kesusahan dan penderitaan, berbanding mengambil langkah perubahan untuk memperbaikinya.

Lebih baik terus hidup kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Biar pun sakit dan makan tidak pernah cukup, lebih baik begini, daripada menyambung pelajaran, menambahkan kemahiran dan kelulusan agar boleh mencari pekerjaan yang lebih baik.

Lebih baik perniagaan kita ini sekadar cukup-cukup makan, daripada mengubah strategi, membuat pinjaman untuk menambah modal bagi meningkatkan pelaburan… kerana kita sudah biasa begini.

Lebih baik bercerai berai dan hancurkan rumahtangga, daripada masing-masing mengubah apa yang patut diubah. Ubah sikap, ubah kebiasaan…

Jangan terkejut jika ramai yang berfikiran begitu.

Malah lebih baik rakyat untuk mereka terus ditipu, diperintah oleh pemimpin-pemimpin yang korupsi dan tidak berintegriti, malah terus derita dengan ketidakadilan politik dan sosial, daripada mengambil langkah mengubah pangkah, untuk berubah. Biarlah terus derita dan sengsara daripada mengejar harapan dan kebaikan yang susah dan payah jalan mencapainya itu.

Itu rakyat…

Tidak keterlaluan juga bagi sesetengah pejuang untuk membiarkan diri mereka terus ditipu, kalah dan terus kalah, mengulangi sahaja strategi lama yang mereka sudah mahir dan biasa, daripada memberanikan diri untuk berubah… ke arah yang lebih baik, kerana berubah itu SUSAH.

“Malah kalau kita mati atau dihukum mati… kita syahid. Jika syahid kita masuk ke Syurga…!” kata sesetengah ‘pejuang berani mati’.

Jangan terkejut jika ramai yang berpendapat sedemikian rupa.

BERANI HIDUP VS BERANI MATI

Sebelum ini saya telah menulis sebuah artikel bertajuk BERANI HIDUP VS BERANI MATI, khusus untuk memperkatakan tentang hal ini.

Tetapi ramai juga pembaca yang cuai. Mereka menganggap saya sebagai “pencinta kehidupan, takutkan kematian, hamba dunia dan pengkhianat perjuangan”, semata-mata kerana saya mempertahankan ketinggian nilai pasukan BERANI HIDUP berbanding pasukan BERANI MATI. Mereka keliru di antara berani hidup dengan cintakan hidup. Mereka keliru antara bersedia untuk mati dengan sengaja mencari mati.

Jika Nabi SAW itu jiwanya jiwa pejuang berani mati, maka Baginda SAW dan umat Islam tidak perlu berhijrah. Tidak perlu sama sekali. Duduk sahaja di Mekah, bertahan dengan ibadah solat sembunyi-sembunyi mereka dan kenapa harus takut? Jika kita dibunuh kuffar Mekah, kita mati syahid. Jika kita mati syahid, kita masuk Syurga!

Apakah begitu cara Nabi SAW berfikir?

Saya yakin jawapan kita adalah tidak. Malah kita juga yang sering berkata, “Nabi SAW berhijrah bukan kerana takut, tetapi kerana perintah Allah”.

Soalnya apakah “perintah Allah” itu? Tidakkah mati syahid juga tinggi kedudukannya di sisi Allah?

Benar sekali, syahid itu tinggi kedudukannya. Namun Allah tidak pernah memerintahkan kita “matilah kamu!”, atau “syahidlah kamu!”. Allah menyuruh kita berjuang, mempertahankan kehidupan dan seterusnya bekerja keras memperbaiki kehidupan. Itu ‘job description‘ seorang khalifah.

Andaikata dalam usaha itu kamu dibunuh dan bertemu maut, maka matimu adalah mati yang mulia… mati syahid.

Syahid adalah anugerah… ia bukan perintah dan sesuatu yang ‘disengajakan’.

Nabi SAW mahu Islam terus berkembang bukan sekadar mengatur hidup manusia berhubung dengan Allah, seperti solat, yang boleh dibuat dalam suasana Mekah. Islam lebih dari itu. Islam itu sistem hidup. Islam bukan sekadar menghantar manusia ke Akhirat… tetapi Islam menahan manusia dari sengaja mati agar berjuang di dunia sebagai bekal menuju Akhirat.

Kerana itu kita harus BERANI HIDUP. Bukannya mengambil jalan mudah dengan mati dan punah. Binasa secara mudah dan tanpa usaha. Mencari jalan mudah untuk diangkat sebagai hero, digelar berani, kerana berjuang berani mati.

Sedangkan tanpa hijrah, tiadalah segala-galanya. Tiada puasa, tiada zakat, tiada haji, tiada muamalat, tiada jihad dan tiada segala-galanya.

Dari manakah segala peluang untuk Islam berjaya mencapai apa yang telah dicapai? Iaitulah dari keberanian dan kesungguhan Nabi SAW dan generasi sahabat mengambil langkah perubahan. Keluar dari zon selesa yang sudah biasa, kepada zon yang lebih mencabar dan sukar. Dan untuk membolehkan langkah itu diambil, kita harus berani hidup, dan bukannya secara selfish memilih untuk berani mati dan masuk Syurga sendiri-sendiri.

Golongan yang berani hidup, tidak takut dengan mati. Orang yang berani mati, mungkin terlalu pengecut untuk hidup. Atau malas berjuang memperbaiki kehidupan, lalu memilih kematian.

hijrah_taubat.jpg

“Hijrah tidak terputus atau berakhir selagi mana taubat terus diterima. Dan taubat itu terus diterima sehinggalah nanti terbitnya matahari dari Barat (Kiamat)” [Riwayat Ahmad]

Hanya dengan keberanian untuk berubah, keluar dari zon selesa kepada zon mencabar, kemenangan akan datang menyusul. Jangan diulang asbab kekalahan dan kegagalan yang kita sudah biasa itu, sebaliknya cabarlah diri dengan realiti kehidupan yang tidak semudah memilih kematian.

Saya mencari dan mengusahakan perubahan…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Link

----------------------

1 comments:

zuwairiaiman berkata...

thanks for many info.. keep up the good work.. i support you