Rabu, Jun 22, 2011

Tetamu Senja,
Menambat Rakit..


Tetamu Senja ~ A. Samad Said


Kita datang ini hanya sebagai tetamu senja
Bila cukup detik kembalilah
Kita kepadanya
Kita datang ini kosong tangan dada
Bila pulang nanti bawa dosa bawa pahala

Pada tetamu yang datang dan
Kenal jalan pulang
Bawalah bakti mesra kepada
Tuhan kepada Insan
Pada tetamu yang datang
Dan lupa jalan pulang
Usahlah derhaka pula
Pada Tuhan kepada insan

Bila kita lihat manusia lupa tempat
Atau segera sesat puja darjat
Puja pangkat
Segera kita insaf kita ini punya kiblat
Segera kita ingat kita ini punya tekad

Bila kita lihat manusia terbiar larat
Hingga mesti merempat ke laut biru
Ke kuning darat
Harus kita lekas sedar penuh pada tugas
Harus kita tegas sembah
Seluruh rasa belas
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat
Kita datang ini satu roh satu jasad
Bila pulang nanti bawa bakti padat berkat

~ A. Samad Said




Sesudah demikian lama dicintai,
sukarlah dilupakan.
Inti pengalaman, kepedihan;
akar kerinduan keresahan…
Memang begitu banyak
diperlukan kekuatan,
kepangkalan batin, rakit ditambatkan
bara kenangan dikuatkan
Akhirnya, tak terduga, kekuatan membuak sendiri,
dan disedari, semua takkan sampai, ke dasar inti.
Tiada lagilah bezanya,
sama ada hilangnya kemudian
atau tenggelamnya sekarang.
Tiada juga bezanya ,
jika ia langsung tak datang
atau tiba-tiba terkorban
Kepiluan yang berlanjut akhirnya,
ditenterami keyakinan,
betapa dielak pun takdir
tetap terbuka pintunya
bertanya: manusia, engkau ini sebenar-benarnya siapa..

~A. Samad Said (1985 )


---------
Tuhan..ampunkan segala dosa-dosa ku ....

Doa & zikir akan ku teruskan.
Cukuplah angan-angan!!
Azam & Iltizam untuk Mu,Tuhan..

-20 Rejab 1432H-
On-Job-Training RNO TM Temerloh

[Ada masa terluang, rasa minda rindu ingin mencicipi kemanisan sajak A.Samad Said. merata di sesawang..
lalu bertemu dua sajak ini. Nah! Syukur.. tak rugi..
2 sajak ini menjadi hidangan petang minda dan manisnya terasa hingga ke jiwa.
Moga berbuah amal semanis iman ajaran Rasulullah.
Bukan sekadar kata tapi melaksanakan.]

Sabtu, Jun 04, 2011

I'm in love
with their spirit.


“Luar biasa urusan orang mukmin.
Semua urusannya baik dan itu tidak berlaku pada sesiapapun melainkan orang mukmin.
Jika dia mendapat kesenangan, dia bersyukur dan itu baik baginya.
Dan jika mendapat musibah, dia bersabar dan itu baik baginya”
(H.R Muslim)


“Iman pasti lusuh di hati salah seorang dari kalian, sebagaimana lusuhnya pakaian..
Kerana itu, mintalah kepada Allah untuk memperbaharui iman di hati kalian.”
(H.R At-Thabrani )