Jumaat, September 02, 2016

مَنْ جَدَّ وَجَدَ


السَّـلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُـه

" Man jadda wajada, wa man zara’a hasada, wa man yajtahid yanjah " adalah prinsip meraih kejayaan dan keuntungan yang berasaskan kepada usaha yang bersungguh-sungguh oleh seseorang Muslimin dan Muslimat di dalam hidupnya dengan berpandukan kepada ajaran Islam.

مَنْ جَدَّ وَجَدَ - Man jadda wajada bermakna "sesiapa yang berusaha (Inshallah) akan mendapat apa yang diusahakannya".

مَنْ زَرَعَ حَصَدَ - Man zara'a hasada pula bermaksud "sesiapa yang bercucuk tanam (Inshallah) akan menuai hasilnya."

مَنْ يَجْتَهِدْ يَنْجَحْ - Man yajtahid yanjah pula bererti "sesiapa yang berusaha (Inshallah) akan beroleh kejayaan."

Berusaha, bekerja dan belajar dengan tekun dan bersungguh-sungguh adalah dituntut dalam agama Islam.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula (berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. Mereka itulah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya." (Surah Yunus, 26)

Sesungguhnya ruang kebaikan, rezeki, ilmu, kebahagian, kekayaan dan pahala itu sangatlah luas. Tanpa usaha yang teliti dan bersungguh-sungguh maka seseorang itu tidak akan berjaya meraihnya.

Ibaratkan kalau tak dipecahkah ruyung manakan dapat sagunya!

Sabda Rasulullah saw: "Kebaikan itu banyak tetapi pengamalnya (yang melaksanakannya) sedikit." (HR. Abu Hanifah)

Akhir sekali lakukanlah sesuatu usaha itu dengan niat yang ikhlas, berprinsip dan bermaruah.

Sepertimana sabda Nabi saw: "Janganlah kamu menjadi orang yang "ikut-ikutan" dengan mengatakan "Kalau orang lain berbuat kebaikan, kami pun akan berbuat baik dan kalau mereka berbuat zalim kami pun akan berbuat zalim". Tetapi teguhkanlah dirimu dengan berprinsip, "Kalau orang lain berbuat kebaikan kami berbuat kebaikan pula dan kalau orang lain berbuat kejahatan kami tidak akan melakukannya". (HR. Tirmidzi)

Ketahuilah saudara bahawa sesungguhnya ilmu itu adalah amal jariah dan sedekah. Ianya penyubur minda dan panduan kehidupan. Ia juga penyuluh jiwa dan merupakan cahaya yang meningkatkan iman dan taqwa. Ilmu dapat mendekatkan diri kita kepada Pencipta dan dengan ilmu jua Allah tingkatkan kebijaksanaan kita. Carilah ilmu sebelum jasad berhijrah. Harap-harap ilmu boleh menjadi landasan ke Syurga!

Petikan dari :
http://penanota.blogspot.my/2011/10/man-jadda-wajada-wa-man-zaraa-hasada-wa.html