Ramai yang boleh menjauhi perkara haram ketika ramai, kerana malukan manusia, tetapi alangkah baiknya jika rasa malu itu dapat dikekalkan di hadapan Allah, maka itulah benteng dari berbuat maksiat.
Daripada Abu Mas’ud ‘Uqbah ‘Amir: “Sesungguhnya antara yang didapati manusia daripada ucapan Nabi terdahulu adalah ‘apabila engkau tidak malu, maka lakukan apa pun yang engkau mahu.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Hadis itu menunjukkan betapa tanpa sifat malu, seseorang itu boleh melakukan apa saja kerana tidak takut seksaan Allah. Tidak merasai keAllah ada, malah tidak rasa Allah sentiasa mengawasi dan melihatnya. Dia seolah-olah orang yang tidak beriman, kerana malu juga satu cabang daripada iman.
Abdullah bin ‘Umar pernah mengatakan: “Malu dan iman itu sentiasa ada bersama-sama. Bila hilang salah satu daripada keduanya, hilang pula yang lainnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Malulah kepada Allah jika ingin berbuat yang haram ketika berseorangan. Tetapi bagaimana hendak malu kepada Allah jika Allah itu tidak dikenali?
Berkata benar kepada orang yang ditakuti atau orang yang selalu menolong
Berkata benar amat dituntut kerana Allah SWT berfirman:
ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَۖ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ
Kebenaran itu datang dari Rabbmu,maka janganlah kamu sekali-kali termasuk orang-orang yang ragu." (Al-Baqarah:147)
Sabda Rasulullah ﷺ: "Katakan yang benar walaupun pahit dan jangan kamu gentar cercaan orang yg mencerca" (HR.Al-Baihaqi)
Firman Allah dan Al Hadis di atas adalah sebagai asas menyatakan kebenaran, dan pastinya akan ada orang yang menolak kebenaran itu, khususnya orang-orang munafik dan tidak beriman.
Maka kita di suruh berkata benar sekalipun pahit, sama ada kepada orang yang zalim (orang yang kita tidak suka), ataupun berkata benar dalam menegur orang yang kita sayangi.
Dan ada sebuah hadis, Rasulullah ﷺ bersabda:
أفضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائ
"Jihad yang utama ialah berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim.” (Riwayat At-Tirmizi & Ibn Majah)
Maka kita diajar cara untuk berkata benar di hadapan pemerintah yang zalim, dalam firman Allah SWT:
فَقُولَا لَهُ ۥ قَوۡلاً۬ لَّيِّنً۬ا لَّعَلَّهُ ۥ يَتَذَكَّرُ أَوۡ يَخۡشَىٰ (٤٤) قَالَا رَبَّنَآ إِنَّنَا نَخَافُ أَن يَفۡرُطَ عَلَيۡنَآ أَوۡ أَن يَطۡغَىٰ (٤٥) قَالَ لَا تَخَافَآۖ إِنَّنِى مَعَڪُمَآ أَسۡمَعُ وَأَرَىٰ
"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut kepada-Ku. (44) Mereka berdua (Musa dan Harun) berkata: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami takut bahawa ia akan segera menyeksa kami atau dia akan melampau batas. (45) Allah berfirman: Janganlah kamu takut, sesungguhnya Aku ada bersama-sama kamu; Aku mendengar dan melihat segala-galanya. (46)" (Toha: 20: 44-46)
Mampukah kita memperkata kebenaran terhadap pemerintah yang zalim atau orang yang ditakuti mendatangkan mudharat kepada kita?
Sekiranya mampu, lakukanlah dengan baik dan betul caranya.
Sabda Rasulullah ﷺ :
“Barangsiapa yang hendak menasihati pemerintah dengan suatu perkara maka janganlah ia tampakkan di khalayak ramai. Akan tetapi hendaklah ia mengambil tangan penguasa (raja) dengan empat mata. Jika ia menerima maka itu (yang diinginkan) dan kalau tidak, maka sungguh ia telah menyampaikan nasihat kepadanya. Dosa bagi dia dan pahala baginya (orang yang menasihati).” (Hadis Imam Ahmad, Abu Nu’aim)
Kerana itu banyak kisah-kisah ulama dahulu menasihati pemimpin, agar sentiasa ingat dan berada di landasan yang betul. Tidak kurang juga mereka terpenjara dan diseksa hanya kerana berani menyatakan kebenaran. Saya telah tuliskan dalam nota Ulama Wajib Menasihati Penguasa, Jangan Bersekutu Dalam Menzalimi Hamba ALLAH dan Pemimpin Perlu Bersih Dan Dilihat Bersih
Sebagai tambahan, elok kisah ini kita hayati. Seorang lelaki telah datang ke istana Amirul Mukminin Harun al-Rasyid, untuk menasihati Khalifah. Di hadapan Harun al-Rasyid, orang itu mengucapkan kata-kata yang kasar dan pedas.
Orang itu berkata, "Wahai Harun al-Rasyid, selama ini anda sudah melakukan begini dan begitu". Ia menyebutkan keburukan-keburukan Harun al-Rasyid.
Setelah selesai mendengarkan perkataan orang itu, Harun al-Rasyid menjawab, "Duhai saudaraku, apakah anda lebih baik dari Musa a.s?"
Orang itu menjawab, "Tentu saja, tidak".
Harun al-Rasyid kembali bertanya, "Apakah saya lebih jahat dari Firaun?"
Orang itu menjawab, "Tentu saja, tidak".
Harun al-Rasyid berkata, "Kalau begitu, selama anda tidak lebih mulia dibanding Musa a.s dan saya tidak lebih jahat dibanding Firaun, maka tidakkah anda perhatikan bahwa AllahSWT berfirman kepada Musa, "Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya (Firaun), dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga dia beringat atau takut kepada-Ku. (Thoha:20:44).
Begitulah jawaban Harun al-Rasyid kepada orang yang menasihatinya.
Bagaimana pula berkata benar kepada orang yang selalu menolong kita atau yang kita sayangi?
Sebenarnya perkara ini lebih sulit lagi untuk dilakukan. Hanya orang-orang yang ikhlas dipermudahkan Allah untuk melaksanakannya. Terutama seorang pemimpin, selalu gagal kepemimpinannya kerana gagal menasihati pembantu-pembantunya...atau pengampu-pengampunya. Lebih-lebih lagi jika telah terhutang budi.
Tetapi bagi mereka yang bertaqwa, takutkan Allah, dipermudahkan Allah. Sebagaimana kisah Sayidina Umar menegur isterinya yang menerima hadiah kalung emas dari isteri pembesar Romawi. Kerana taqwa juga, si isteri dengan rela hati memulangkan kalung itu ke baitulmal, setelah menyedari dia tidak layak memilikinya. Ikuti kisahnya di nota Kalung Ini Milik Negara.
Moga mendapat manfaat, sebagai peringatan diri yang selalu lupa.
محمد فضلي بن يوسف
01 Rabiul Akhir 1432H
06 Mac 2011
Silakan tag@share
(Jika ingin kongsikan di blog, atau di copy paste ke nota anda, sila nyatakan nama saya dan buat pautan ke FB saya, agar saya mudah menjawab segala persoalan yang timbul dari artikel ini.)
Lawat Halaman Penaja:
1. Bestari Shop - Produk Pemakanan Sunnah - NR Bashirah
2. Pemakanan Sunnah Bersama NR-Bashirah
dari : http://www.facebook.com/mfadli11