Sabtu, April 24, 2010

Manusia sebagai makluk percaya.


“Sabarlah emak, Ina nak ke Shah Alam bekerja kilang ini sebab emak. Nak tolong emak. Dah lama emak susah” Ina teresak-esak menahan rasa.

Memeluk emak yang kesedihan mahu melepaskan anak.

Suasana di perhentian bas di tepi jalan berhampiran Sekinchan itu sungguh hiba dan pilu.

Drama ibu dan anak.

Setibanya Ina di rumah sewanya di Shah Alam, hampir 30 kali sehari beliau menghantar sms kepada emak di kampung.

“Mak, Ina dah makan. Mak dah makan?”

“Mak, tadi Ina beli sikat baru!”

“Mak, Ina nak tidur ni.”

Demikianlah pada minggu pertama.

Bulan kedua begitu juga.

Bulan ketiga, Ina bertemu dengan Udin.

Daripada 30 sms sehari, Ina menghantar 30 hari sekali satu sms!

“Maaf mak, Ina sibuk kerja banyak shif,” kata Ina.

Sibuk dengan Udin, si buayafriend yang cinta dua bulan mereka berjaya memadamkan cinta dua puluh tahun emak Ina di kampung.

KISAH SUAMI

I kerja untuk you sayang!” kata suami sambil membawa pulang hadiah cincin belah rotan buat isterinya.

Semasa itu gajinya RM800 sebulan.

I kerja untuk you sayang!” ulang suami sambil membawa pulang cincin solitare buat isteri yang dikasihi.

Gaji sudah meningkat RM4000 sebulan.

I rasa nak buka cawangan barulah sayang!” kata suami membawa pulang ‘payung emas’ berupa surat izin untuk ditandatangani sang isteri.

Gaji ketika itu sudah RM10,000 sebulan.

Bukanlah poligami itu isunya.

Tetapi mengapa semasa bergaji RM800 sebulan, kerjanya untuk isteri, tetapi apabila gaji mencecah RM10,000, sudah bercadang mahu membuka cawangan?

BUKAN FIKSYEN

Kisah di atas bukan berdasarkan kejadian sebenar, tetapi banyak benarnya.

Tujuan awal lain, hala dituju kemudian lain pula.

Sesuai benar dengan pepatah Melayu yang menyebut, “lagi tinggi pokok yang dipanjat, lagi kuat angin yang menggoncang.”

Semua itu adalah terjemahan kepada kesan niat dalam perbuatan.

Bekerja kerana emak itu adalah bekerja atas satu tujuan yang berada di luar kita. Semakin jauh dan lama tujuan luar itu ditinggalkan, semakin pudar kesannya pada niat kita bekerja.

Bekerja kerana isteri itu adalah bekerja atas satu tujuan yang berada di luar kita. Semakin jauh dan lama tujuan luar itu ditinggalkan, bersaing pula dengan anasir luar yang semakin banyak di kejauhan perjalanan hidup, semakin pudar kesannya pada niat kita bekerja.

Bekerja kerana emak dan bekerja kerana isteri itu susah. Lebih susah kalau bekerja kerana slogan-slogan retorik, “demi agama, bangsa dan negara!”

KUASA NIAT

Itulah besarnya maksud pada pesanan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang NIAT:

“Sesungguhnya amalan-amalan itu bergantung kepada niat” [Al-Bukhari dan Muslim]

Niat bukan hanya soal menentukan dosa dan pahala di Akhirat.

Niat itu titik mula sebuah amal. Silap sedikit di titik mula, silap besar dan bertambah besar dengan pertambahan jarak dan masa.

Seperti sebuah pesawat yang sepatutnya terbang ke Jeddah, bisa sahaja di akhir perjalanan mendarat di Tel Aviv. Segalanya berpunca daripada tersasar beberapa darjah di permulaan kembara. Sikit-sikit lama-lama jadi penyakit. Kesilapan awal yang tidak diperbetulkan.

Allah mencipta manusia sebagai makhluk percaya. Dia akan bertindak mengikut apa yang dia percaya. Kepercayaan itu pula letaknya di dalam jiwa. Percaya di dalam, amal dan kerja di luar. Kerja luar adalah terjemahan kerja dalam. Betulkan dalam, eloklah luar. Justeru betulkan hati, tempat letak percaya diri.

Manusia adalah makhluk inside-out.

Tetapi manusia suka berniat dengan outside-in.

Kerana isteri, isteri tetap sengsara. Kerana bonda, bonda terus derita.

Sebab itu, hanya satu sahaja yang sejahtera diangkat menjadi percaya.

Bekerja kerana Allah.

Bekerja, niatnya biarlah kerana DIA, kerana Allah.

Kerana Allah, kita tidak lupa menjaga kebajikan bonda. Kerana Allah, kita sentiasa ingat keperluan isteri dan keluarga.

HIKMAH BISMILLAH

Bekerja kerana Allah itu sentiasa menjadi tujuan yang mengawal diri di sepanjang perjalanan mendaki kerjaya. Tidak keliru antara tujuan dan keperluan. Malah menjadikan tujuan, sebagai motivasi untuk memperbaiki keperluan.

Justeru kita diajar agar memulakan setiap satu perbuatan dengan membaca Bismillah.

“Setiap perkara penting yang tidak dimulakan padanya dengan Bismillah, maka perkara itu terputus” [Hadith riwayat Abu Daud, al-Nasaa'ie, Ibn Majah dan Ibn Hibban di dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah]

Terputus daripada tujuan asal yang baik.

Terputus daripada Allah.

Seperti layang-layang terputus tali yang jatuhnya entah ke mana.

Itulah hikmah memulakan setiap pekerjaan dengan Bismillah.

Agar setiap kerja, kita kerjakan dengan sedar apakah tujuannya.

Bekerja kerana Allah, kerana Dia!

Bekal titik mula kita bersama…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

------------

Justeru,kita percaya kita akan berjaya.

Maka kita akan bekerja untuk melihat kita berjaya !

Namun apakah definisi berjaya kita sama dengan definisi yang telah Allah nyatakan dalam kalamNya?

Masa untuk memuhasabah diri kembali... dan kembali..

yang akan kembali padaNya nanti..


0 comments: