Jika ditanya siapa aku?
Akulah mukmin yang akan hidup sebagai mukmin.
Ana Faqir, Hamba, Khalifah juga Insan..
~ Manusia mengawal pena dan menyusun kata-kata, agar ia menjadi catatan terbaik untuk dipersembahkan kepada Khaliqnya~
[With so many paint colours to choose from, it can be hard to pick the right one for your life.] Life is the sum of your choices.
— Albert Camus
Usah terlalu kagum dengan teknologi tanpa wayar. Sedangkan setiap hari, kitaberkomunikasi dengan Tuhan tanpa wayar. ---------
Allah membangkitkan semua nabi daripada Adam hingga Muhammad dalam dunia tanpa wayar (masih tiada wayar lagi). Namun komunikasi mereka menjangkau ke langit tanpa wayar, malah tanpa satelit. Wahyu yang diturunkan kepada mereka juga tanpa wayar, sama ada melalui malaikat Jibril ataupun mimpi. Usah begitu kagum dengan teknologi tanpa wayar hari ini sedangkan setiap hari kita berkomunikasi dengan Tuhan tanpa wayar.
-------
Islam terus berkembang selepas wahyu tanpa wayar itu diturunkansehinggalah hari ini. Allah mewakilkan Nabi Muhammad sebagai rasul atau pesuruhNya bagi menyampaikan segala mesej yang terkandung dalam wahyu. Nabi Muhammad diutuskan bukan sekadar untuk orang Arab tetapi untuk seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan warna kulit. pemberi rahmat ke serata Alam.
Subhanallah,Masya-Allah
---------- Internet, menyimpan 1001 tanda kebesaran Allah
Fikirkan: Siapakah pencipta elektron dalam arus elektrik apabila suiz dibuka dan elektron yang membantu menghantarkan data. Sudah tentu ALLAH.
--------------
dipetik dari buku "Online Dengan Tuhan" oleh Zulkifli Khair [Klik gambar untuk pautan penulis]
Alhamdulillah, direzekikan untuk memiliki buku ini bersempena tawaran potongan harga 25% dari PTS untuk jualan akhir tahun 2009. Kali ini PTS membuat tawaran sekali lagi.. 25% juga.. untuk jualan awal tahun 2010.. sehingga 31 Januari.. klik sini
^_^ Excited nak beli..banyak buku yang 'mengenyangkan' minda.
T_T Sedih... sebab banyak juga lagi buku yang dibeli tak sempat 'disantap' sampai habis lagi...
InsyaAllah.. sedang berusaha ke arah itu.. --------- Yuk, membaca dijadikan amalan. di dalam bas, kereta dan di mana-mana sahaja. di LRT juga ..
[Cakap tentang LRT, saya sempat melihat tapak pembinaan LRT di Sungai Melaka semasa outing minggu lepas dengan sahabat-sahabat :) Outing kami boleh lah baca di blog kak annaml ;) ] ----------
Baiklah, pesankan pada diri yang selalu lupa untuk selalu online dengan Tuhan.
Selamat online dengan Tuhan di sepanjang usia.
"sudahkah Tuhan dibesarkan di dalam jiwa dan jua fikiran pada lisan dan perbuatan di dalam usaha dan gerak kerja"
Lirik Di Suatu Hari Raya by In-Team Dan Unic --------
Selamat Hari Lahir buat Angah tersayang (26 Januari)
Ya Allah, ku ingin terus menangis.. dengan tangisan yang mendekatkan diri ku dengan Mu.. ----------------
Tangisan itu bukanlah sekadar teman di saat kedukaan dan kesedihan hadir, dan bukan hanya sebagai perisai terakhir bagi yang lemah.
Hakikatnya, tangisan itu mampu memadamkan api neraka, mendekatkan diri dengan Rabbnya(Yang mendidiknya).. menjadi pengerat kasih dengan Tuhan yang bersifat Ar-Rahim.. dan menjadi bukti cinta hamba kepada Khaliqnya..(Penciptanya) jika tangisan itu mendapat pengiktirafan dariNya.
---------- Saat hidayah dinikmati oleh hati yang hampir tandus tanpa pohon iman sebenar, lebat disirami dengan hujan tangisan syukur padaNya..
Alhamdulillah.saat itu.. nikmat! itu sahaja yang dapat dikatakan.
bergembiralah bagi hati yang sentiasa segar dengan angin taubat. nyaman... dalam perhatianNya.
-------- Ya Allah, kami lah hamba Mu yang selalu khilaf dalam kehidupan, kami dambakan redha Mu tapi khilaf dalam amal sendiri.
Bacalah ini.. " Di dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda bahawa air mata dari tangisan pembuat dosa yang bertaubat adalah lebih disukai Allah dari tasbih para wali. Rasulullah s.a.w juga ada bersabda: "Kejahatan yang dibuat lalu menimbulkan rasa sedih adalah lebih baik dari kebaikan yang menimbulkan rasa takbur."
Subhanallah, kasih Allah tak pernah kurang untuk kita.. :)
lihatlah sahabat-sahabat, kita tidak pernah hilang dalam pandangan Allah.. jika kita mencariNya..
---------
"Tiada suatu yang lebih disukai oleh Allah dari dua titis dan dua bekas. Titisan airmata kerana takut kepada Allah dan titisan darah dalam mempertahankan agama Allah. Adapun dua bekas adalah bekas dalam perjuangan fisabilillah dan bekas perjuangan kewajiban kepada Allah." (Riwayat Attirmizi)" tangisan seperti embun pagi. angin membawa ia pergi. hilang dalam sinar mentari.
namun tangisan padaNya, meskipun hilang dalam pandangan tetapi ia kekal dalam catatan amalan."
-------------------------- Pada suatu hariRasulullah s.a.w berkhutbah, lalu baginda bersabda dalam khutbahnya itu: "Andaikan kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kamu akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata: seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.
Ya Allah, bantulah hamba.. hamba ingin terus menangis.. -------- "Jika kamu tidak dapat menangis dan bertaubat atas kesalahan dan dosa-dosa mu, maka menangislah atas keadaan itu"
"Moga hati lebat disirami dengan tangisan syukur,raja' dan khauf, dan sentiasa segar dengan angin taubat." --------
Jazakillah buat ukhti Nik Zuliani.. walaupun sekadar berkongsi link ini di status ym beliau.. :)
Suka untuk saya kongsikan dengan sahabat-sahabat cetusan minda dari ustaz Saiful Islam.. tajuknya " Apa Erti Saya Menganut Islam" bunyinya seperti tajuk sebuah buku karangan Ustaz Fathi Yakan.antara bahan bacaan yang terawal yang dicadangkan untuk dibaca oleh ahli-ahli usrah selalunya..
Suka benar saya kongsikan (erti kata lain "copy-paste" :D) artikel-artikel dari Ustaz Saiful Islam. suka juga saya cadangkan kepada adik-adik usrah untuk melawati saifulislam.com "Cubalah baca, InsyaAllah menarik :) " kata-kata yang selalu saya gunakan untuk menyakinkan mereka untuk membaca.. tidak dinafikan,terkadang ada juga entry yang panjang skit..skit je.. (alah taklah setebal Harry Potter atau majalah2 gosip itu..ye tak? )
Saya mula membaca hasil tulisan Ustaz sewaktu di awal-awal saya memiliki laptop. browse sana click sini.. (tak pasti mcm mana bole jumpa dengan artikel ustaz..) cuma, bila diyakinkan lagi oleh kakak-kakak usrah untuk membacanya.. saya jadi lebih giat membacanya..
Pada permulaan membaca, "saya sangkakan ustaz ni bahaya sikit, sebab cara berfikir yang sangat tak pernah difikir.." [pandangan otak yang sempit ketika itu]
Ustaz mengajar minda saya di alam maya untuk berfikir. mencabar kebiasaan. mempersoalkan soal keislaman dan pelbagai lagi..
Justeru.. harap sahabat-sahabat. sudilah kiranya membaca post yang antara terpenting untuk kita baca.
-------------------------------
Apa Erti Saya Menganut Islam?
“Apa erti saya menganut Islam?”, tidakkah soalan itu soalan yang tidak patut ditanya?
Tidak masuk akal untuk seseorang itu menjadi Muslim tetapi belum pernah memikirkan erti keIslamannya. Memilih sesuatu tanpa mengetahui apa yang dipilih?
Tidak… bukan begitu soalannya. Selama ini tidak pernah pun membuat pilihan, melainkan segalanya diterima secara kebetulan. Islam warisan. Islam yang turun dari emak ke anak, sebagaimana turunnya warna mata dan kerinting rambut.
Tanpa pernah memilih Islam, seorang Muslim mungkin menjadi musuh kepada keIslamannya sendiri. Menjadi perosak kepada agama yang dimeterakan ke pengenalan dirinya. Dia bukan sahaja gagal menikmati Islam yang dianutinya, malah dia mungkin sampai menganggap racun keIslamannya lantas meracuni orang lain dengan perbuatan-perbuatannya yang menyesatkan persepsi orang lain tentang erti Islam yang sebenar.
Sulitnya lagi, menjawab persoalan “apa erti saya menganut Islam” bukan pada perkataan dan penjelasan lisan, tetapi melalui perbuatan.
Perbuatan kepada Tuhan
Perbuatan kepada sesama insan
Perbuatan kepada alam
Perbuatan kepada pekerjaan dan aktiviti seharian
Kesemua jawapan tentang “apa erti saya menganut Islam”, jawapannya diungkap pada perbuatan. Apa erti saya menganut Islam adalah persoalan yang mengkritik perbuatan berdasarkan kepercayaan. Apa yang kamu percaya, dan apakah kesan kepercayaan kamu kepada perbuatan seharianmu.
PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN
Islam itu penyerahan…
Islam itu ketundukan…
Islam itu kesejahteraan…
Islam itu adalah penyerahan dan ketundukan yang menghasilkan kesejahteraan.
Soalnya, kepada apakah seorang Muslim itu berserah dan tunduk akur? Kesejahteraan apakah yang dicarinya dalam kehidupan ini.
Secara cliché, seorang Muslim berkata, “sebagai Muslim, saya berserah dan tunduk kepada Allah dan dengan perbuatan itu berhasillah saya mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan di Akhirat”.
Sedap jawapannya, menepati skema ukuran kertas jawapan. Tetapi terjawabkah persoalan kehidupannya dengan jawapan sebegitu di atas kertas jawapan? Jika begitu tepat seorang Muslim mendefiniskan keIslamannya sebagai tunduk dan berserah kepada Tuhan, mengapakah kesejahteraan hilang dari dunia Muslim zaman berzaman? Mengapakah segala yang sakit dan tenat itu kita temui dalam catatan kehidupan Muslim yang kebelakangan?
“Saya hairan apabila ustaz begitu yakin menyebut bahawa masa depan adalah milik Islam. Kenapa saya tidak memiliki keyakinan yang sama?”, tanya seorang peserta PUISI 2007.
Ya, hingga begitu sekali seorang Muslim menimbulkan pertanyaan. Saya tidak menyalahkan penyoal dan soalan kerana ia adalah pertanyaan yang tulen. Pertanyaan yang memberikan kesimpulan bahawa empat hari berkampung di Bukit Melleray, Co. Waterford bukan jawapan penuh kepada menjawab persoalan APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM… bahawa dua muka surat tulisan Fathi Yakan tentang “meyakini bahawa masa depan adalah milik Islam” adalah jauh dari upaya menjustifikasi ucapan-ucapan kita agar bukan sekadar slogan dan retorik angan-angan.
HAKIKAT PENYERAHAN DAN KETUNDUKAN
Allah SWT tidak akan menjelma lantas manusia yang sujud di ‘kaki’-Nya boleh mendakwa saya telah tunduk dan berserah kepada Tuhan. Maka bagaimanakah seorang manusia itu dengan mudah boleh berkata, saya telah tunduk kepada Dia?
Ya… maka manusia mesti lebih kritis dalam menjawab dan meyakini jawapannya.
Mari kita pinjam semula kisah Pak Haji dan Ah Chong…
Pak Haji mengerjakan haji. Sebelum itu juga beliau telah selesai sempurna solatnya, puasanya dan zakatnya. Soalan “apa erti saya menganut Islam”, telah Pak Haji jawab dengan mematuhi rukun-rukun dan syarat Islam.
Pak Haji menanam jagung.
Turun ke kebun jam 10 pagi, selepas selesai solat sunat Dhuha. Benih dipilih, dibenam ke bumi, air disiram, Pak Haji balik ke rumah dan bersolat lagi.
Di seberang sana ada seorang lagi pekebun jagung bernama Ah Chong. Jangankan haji, halal haram dan solat pun dia tidak mengerti. Tidak pernah dipeduli. Soalan “apa erti saya menganut Islam” bukan soalan hidupnya, kerana hidupnya hanya pada makan, minum, tidur, kerja, rehat, kahwin.
Ah Chong menanam jagung.
Turun ke kebun jam 7 pagi. Masih ‘kufur’ seperti sebelum tidurnya malam tadi. Dengan dada yang kosong dari sebarang agama, Ah Chong memilih benih terbaik. Ditanam semolek mungkin ke dalam tanah yang dibentuk batas. Dibuat saluran air, agar lebihan siram tidak bertakung merosakkan benih. Batas dilindung dengan rumput kering selepas baja ditabur mengikut sukatannya. Pagar kebun diperiksa, agar jangan kambing yang hidupnya juga makan, minum, kerja, rehat dan ‘kahwin’ merempuh masuk memakan anak pokok jagung si Ah Chong. Tepat jam 12 tengah hari, Ah Chong bersandar di pondok usang, berehat dan makan menanti petang.
Setiap hari Pak Haji dan Ah Chong mengulang perbuatan yang sama hingga genap 50 hari untuk menuai.
Jawablah soalan “apa erti saya menanam jagung?” melalui hasil tuaian masing-masing. Siapakah yang lebih mendapat makna dari persoalan itu?
Dengan yakin, kita boleh menjawab bahawa kebun jagung Ah Chonglah yang makmur dan sejahtera.
Soalnya siapakah yang menumbuhkan jagung?
Allah…
Soalnya siapakah antara mereka berdua yang menyembah Allah?
Pak Haji…
Mengapa Allah tumbuhkan pokok jagung Ah Chong dan bukannya pokok jagung Pak Haji?
Mengapakah sebagai seorang pekebun jagung, Ah Chong yang beroleh sejahtera dengan hasil tanaman yang lumayan? Sedangkan Pak Haji terus papa dan resah dengan keperluan hidup yang tidak pernah cukup?
MUSLIM DI LADANG JAGUNG
Jika Muslim itu bermaksud tunduk dan berserah kepada Allah, siapakah yang Muslim di medan menanam jagung ini? Pak Haji atau Ah Chong?
Mungkin soalannya seperti suatu permainan, tetapi saya ingatkan kembali kenyataan Muhammad Abduh sekembalinya dia dari pembuangan di Barat. Kata Muhammad Abduh:
“Saya pergi ke Paris, lantas saya bertemu dengan Islam tanpa Muslim. Saya kembali ke Kaherah dan saya bertemu dengan Muslim tanpa Islam!”
Apakah ketentuan Allah SWT terhadap pokok jagung? Apakah sistem Allah dalam bercucuk tanam? Bagaimanakah ‘cara kerja’ Khaliq terhadap makhluq bernama jagung? Apakah Allah membuat suatu sistem bahawa untuk jagung tumbuh subur ia memerlukan kepada zikir yang ma’thur dari nas al-Quran dan al-Sunnah? Apakah kesuburan jagung ditentukan oleh Allah SWT pada besarnya serban atau pada singkatnya jubah? Bagaimanakah caranya manusia menyembah Allah dalam perbuatan menanam jagung?
Ketentuan Allah pada teknik menyuburkan tanaman jagung ialah pada kualiti benihnya, cara jagung ditanam, jenis baja, kaedah menjaga pokoknya… yang kesemuanya dihimpun dalam satu ilmu bernama sains pertanian.
Siapakah yang tunduk kepada Allah dalam sains pertanian?
Jawapannya… Ah Chong.
Ah Chong yang patuh kepada hukum alam, kepada hukum sains pertanian… kepada Sunnatullah (cara kerja Allah).
Meminjam kata-kata Muhammad Abduh, maka Ah Chong adalah ‘muslim’ tanpa Islam di ladang jagungnya.
Pak Haji itu pulalah yang kosong makna Islamnya kerana dia taat di atas sejadah, namun ‘kufur’ di medan kerja. Allah, Allah!!!
TAUBAT SAINTIFIK
Bagaimanakah pula jika Pak Haji mengubah salah tanggapnya itu tadi? Turun ke kebun seawal 7 pagi, bekerja secara optimum dengan teknologi terkini dalam penanaman jagungnya kali ini dan dalam masa yang sama, Pak Haji terus komited dengan solatnya, dengan puasanya, dengan zakatnya dan pada ketaatannya sebagai apa yang selama ini dinamakannya sebagai ‘kerja Islam’.
Pak Haji mendapat tuaian jagung 50kg, sebagaimana Ah Chong yang juga mendapat hasil yang sama. Apakah kini mereka telah sama?
Jawapannya YA dan jawapannya juga TIDAK.
Ya, mereka berdua saling mendapat kesejahteraan dalam ekonomi dan pertanian kerana beroleh hasil yang seimbang pada penilaian dan ukuran.
KESEJAHTERAAN HIDUP
Tetapi, pada keseluruhan gambaran kehidupan, Pak Haji dan Ah Chong tidak sama. Pak Haji memperolehi 50kg jagung, dan dengan hasil kerjanya itu hidup Pak Haji ada bahagia. Berasa cukup tetapi tidak menghalangnya dari terus berusaha. Ada bahagian yang boleh disedekah dan ahli keluarganya mendapat tenang dan sejahtera.
Rezeki Pak Haji ada kualiti bernama barakah. Sedikit yang banyak, banyak yang membanyakkan.
Ah Chong beroleh 50kg, tetapi jiwanya tidak pernah berasa cukup. Bukan sahaja beliau tertekan untuk berusaha malah mengintai peluang untuk mengambil bahagian di tangan orang lain. Hidupnya gundah gelana, makan cukup tetapi jiwa tidak tenteram. Selepas kenyang, dia kembali lapar. Selepas lena, matanya kembali terjaga. Banyak persoalan yang membelenggu kehidupan. Apa ertinya hidupku ini.
Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan alam melalui sains pertanian.
Ah Chong telah menyelesaikan persoalan hubungannya dengan sesama insan dengan nafkah minum makan yang dibekalkan.
Tetapi Ah Chong takutkan kematian kerana ia noktah akhir segala usahanya yang dikerjakan seharian. Ah Chong tidak pasti dengan jawapan, apakah erti hidupnya ini, sebelum dia bertemu jawapan apakah erti yang ingin dibawa menjelang mati.
Semuanya kerana Ah Chong tidak menyelesaikan persoalan hubungannya dengan Tuhan. Dunianya sempit kerana disempitkan oleh cara dia melihat kehidupan. Dia tidak beroleh kesejahteraan. Dia gagal memaknakan dunia kerana tidak bertemu jalan menuju Akhirat.
Ah Chong mungkin mengambil keputusan untuk menghancurkan kehidupan ketika berada di puncak pencapaian.
INILAH SIFIRNYA
Kesejahteraan adalah hasil ketundukan dan penyerahan. Kesejahteraan jiwa dan kehidupan beragama, kesejahteraan ekonomi, politik dan sistem sosial.
Ketundukan dan penyerahan kepada Tuhan melalui sistem Tuhan pada mengatur alam ciptaan-Nya ini.
Di sinilah peraturan Allah diterjemahkan sebagai sains dan hukum alam. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada sains adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.
Ketundukan dan penyerahan manusia kepada cara dia berhubung dengan Dia… pada ibadah dan ritual amalan yang sejahtera. Ibadah yang majhul hingga terdidik melalui seorang perantara yang mengungkapkan wahyu di dalam ajaran bernama Syariah. Tunduk dan patuhnya seorang manusia kepada Syariatullah adalah sebahagian daripada maksud “apa erti saya menganut Islam”.
PERATURAN YANG MENYELURUH
Solat seperti kita melihat Nabi SAW bersolat
Memperelokkan sembelihan dengan menggunakan pisau yang tajam
Keluasan ilmu pada teknik menanam tamar, “kamu lebih tahu akan urusan duniamu”… kesemuanya diungkapkan pada perintah Syariatullah, dan keluasan ruang untuk penerokaan sains dan Sunnatullah…
APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM?
Iaitulah pada menghasilkan Muslim yang mematuhi sains yang menafsirkan sistem Allah dalam hubungannya dengan alam dan sesama insan.
iaitulah pada menghasilkan Muslim yang mematuhi syariat yang menafsirkan sistem Allah dalam hubungannya dengan Tuhan pencipta alam dan insan.
Muslim itu adalah manusia yang SAINTIFIK lagi SYARIATIK
Semoga 2008 subur dengan aktiviti menjawab soalan “APA ERTI SAYA MENGANUT ISLAM”